Malaysia
5 Ogos 2009
Pada 5 Ogos 2009 sejumlah 16 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan
dengan 3 kes kematian. Semua kes adalah kes tempatan dan warga negara
Malaysia. Daripada 16 kes yang dilaporkan hari ini, 10 merupakan
kejadian dari 3 kluster baru dan 6 kes sporadik atau terpencil. Manakala
tiga (3) kes kematian yang dilaporkan adalah kes sporadik.
Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 5 Ogos 2009
jam 8.00 pagi adalah sebanyak 1,476 kes dengan jumlah kematian 11 orang.
Daripada 1,476 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (39%) merupakan kes
import dan 902 (61%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,413
kes (96%) telah sembuh. Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang
masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 10 orang. Manakala 28 kes
sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.
Daripada 10 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 3 daripada mereka
mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), mengandung (1) dan imuniti
rendah (1).
Daripada 16 kes yang dilaporkan, dua (2) kes dirawat di wad, 11 orang
menerima rawatan pesakit luar dan tiga (3) adalah kematian. Maklumat
mengenai kes kematian pada 4 Ogos 2009 seperti berikut:
1. Kematian ke-sembilan, kes adalah seorang budak perempuan berumur
3 tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik. Kes
dimasukkan ke Hospital Melaka pada 31 Julai 2009 dengan gejala demam dan
batuk pada 25 Julai 2009. Pesakit disahkan mengidap jangkitan influenza
A(H1N1) pada jam 6.19 petang 2 Ogos 2009 dan meninggal dunia pada 3 Ogos
2009 jam 4.30 petang dengan diagnosa jangkitan virus influenza A(H1N1)
dengan severe pneumonia. Sebelum dimasukkan ke Hospital Melaka, kes
telah mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik swasta dan dimasukkan ke
hospital swasta pada 30 Julai 2009, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka
sehari kemudian kerana mengalami jangkitan radang paru-paru teruk
(severe pneumonia).
2. Kematian ke-sepuluh, kes adalah seorang budak lelaki berumur 12
tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan
dialisis. Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 3 Ogos 2009
dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas semenjak 1 Ogos 2009.
Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2 petang disebabkan
jangkitan pneumonia teruk. Kes disahkan mengidap jangkitan influenza
A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam 5.50 petang.
3. Kematian ke-sebelas, kes adalah seorang lelaki berumur 20 tahun
dengan kronik asma telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 2 Ogos 2009
dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas semenjak 31 Julai 2009.
Beliau terus dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan mengalami
pneumonia teruk. Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2.30 pagi
dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam
5.50 petang.
Merujuk kepada situasi global, sehingga 5 Ogos 2009, sejumlah 193,686
kes dengan 1,361 kematian telah dilaporkan daripada 171 negara. Ia
merupakan peningkatan sebanyak 4,531 kes dengan 42 kematian berbanding
dengan hari sebelumnya dengan pertambahan tiga (3) negara iaitu Grenada,
Kiribati dan Tokelau.
Penularan virus influenza A(H1N1) di dalam komuniti telah semakin
meluas. Ia ditunjukkan oleh kehadiran ramai pesakit ke hospital dan
klinik untuk mendapatkan rawatan demam dan batuk. Orang ramai
dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:
1. Mereka yang berisiko tinggi (mengandung, obes, asma, diabetes,
imuniti rendah, sakit jantung) dan sedang mengalami gejala jangkitan
saluran pernafasan hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di klinik atau
hospital yang berdekatan. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati
pesakit dengan jangkitan virus influenza A(H1N1) jika sekiranya rawatan
dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas bermula gejala. Rawatan tidak
memerlukan ujian pengesahan makmal dan bagi klinik kerajaan rawatan
adalah percuma.
Selepas mendapat rawatan, pesakit adalah perlu berada di rumah
dan mengurangkan pergaulan dengan orang awam termasuk ahli keluarga
serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik.
Amalan ini dapat mengurangkan perebakan virus kepada orang lain.
2. Pesakit-pesakit yang mengalami gejala ringan jangkitan influenza
A(H1N1) yang telah dinasihatkan oleh doktor untuk duduk di rumah perlu
mematuhi nasihat tersebut kerana amalan ini boleh mencegah perebakan
virus influenza ini kepada orang lain. Jika terpaksa pergi ke
tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti memakai topeng muka atau mask
jenis 'three ply' yang didapati boleh mencegah penularan virus kepada
orang lain.
3. Pesakit-pesakit yang telah dinasihatkan untuk duduk di rumah
semasa rawatan agar sentiasa memantau tahap kesihatan sendiri. Sekiranya
gejala bertambah teruk seperti demam yang berterusan, sakit dada, sesak
nafas, atau `altered conciousness' sila segera mendapatkan rawatan di
hospital.
4. Orang ramai yang mengetahui wujudnya kejadian kluster
influenza-liked illness (ILI) di sekolah, institusi dan komuniti, sila
maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk siasatan dan
tindakan kawalan.
Adalah dimaklumkan waktu operasi hotline adalah dari 8.00 pagi hingga
5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Bagi mereka yang
memerlukan maklumat selepas waktu operasi, dapatkan daripada laman web
Kementerian Kesihatan http://www.moh. gov.my
http://h1n1. moh.gov.my
Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua
pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan
sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO' SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia